Jom Booking !

KEKOSONGAN SEPT / OKT/ NOV +++ 2024

(Untuk hari minggu)

Masih banyak kosong

BULAN SETERUSNYA 2024 STILL AVAILABLE



Masih banyak lagi kekosongan di kem. Jom Whatassp saya di 012 369 4057 untuk ' FAST RESPONSE' - KLIK SINI




Hutan Lipur Serting Ulu


Petikan Akhbar Utusan Malaysia 
ARKIB : 30/12/2010

Hutan Lipur Serting Ulu mengasyikkan



PENGUNJUNG bermandi-manda di Hutan Lipur Serting Ulu, baru-baru ini.


JEMPOL 29 Dis. – Suasana kampung yang aman damai ditambah pula dengan pemandangan unik rumah tradisi masyarakat Minangkabau di sepanjang jalan, pastinya menambat hati sesiapa yang mengunjungi Hutan Lipur Serting Ulu, dekat sini.Dengan kedudukannya kira-kira 20 kilometer dari pekan Bahau, dekat sini, hutan lipur itu menjanjikan pengalaman luar biasa kepada sesiapa yang pertama kali menjelajah dalam alam flora dan faunanya.

Mengikut fakta sejarahnya, kawasan itu mula dimajukan pada tahun 1986 selepas ia ditemui hampir 100 tahun lalu oleh penjajah British dan sejak itu ia mula menjadi tarikan kepada pengunjung dalam dan luar negeri.Jalan masuk sejauh dua kilometer ke hutan lipur itu agak sempit dan kadangkala kereta yang dipandu terpaksa berhenti di bahu jalan bagi memberi laluan kepada kenderaan dari arah bertentangan.Apa pun, mata anda pastinya terarah pada pandangan sekumpulan kerbau yang sedang berendam di dalam lumpur atau gelagat monyet dan burung bermain-main di atas pokok.Selepas melalui kawasan kampung yang permai, para pengunjung akan melihat satu kawasan hutan yang dijaga rapi dan di tengahnya mengalir air sungai pergunungan yang jernih.Bagaimanapun, apabila pertama kali menjejak kaki di sini, pasti mata anda akan tertumpu pada satu papan tanda yang melarang pengunjung membawa makanan yang tidak halal.Berdasarkan penceritaan orang lama di situ, terdapat satu perkampungan orang bunian berhampiran hutan lipur itu dan bagi menghormati mereka, hanya makanan halal dibenarkan dibawa masuk.Sekiranya pantang larang tersebut dilanggar, dikhuatiri menyebabkan masyarakat bunian marah dan ‘mengganggu’ pengunjung.Apa yang menarik, lokasi tersebut juga pernah menjadi lokasi pertempuran Perang Dunia Kedua.Malah masih kelihatan beberapa lubang sedalam hampir semeter yang dikatakan kesan bom di kawasan tersebut.

Di sini juga terdapat jambatan gantung sepanjang 100 meter yang menghubungkan dua buah bukit dan di pengunjungnya boleh menyaksikan pemandangan hutan dengan lebih jelas.Di bawah jambatan gantung itu anda boleh melihat air sungai yang mengalir dan menyaksikan pemandangan hutan lipur tersebut dari pandangan atas.Hutan lipur itu juga kaya dengan pelbagai spesies pokok hutan malah ia turut dilabelkan sebagai salah satu cara pembelajaran tidak formal.Walaupun sungai yang mengalir agak kecil dan cetek, pengunjung boleh mandi di satu kawasan kolam yang sengaja dibina untuk kemudahan pengunjung.Bagi memudahkan pengunjung, terdapat deretan kedai yang menjual pelbagai makanan dan minuman serta cenderamata untuk dibawa pulang.

Seorang pengunjung, Kin Fatt Chon, 41, berkata, hampir setiap bulan dia dan keluarga akan datang ke hutan lipur tersebut untuk berkelah.Fatt Chon yang berasal dari Bahau dekat sini, memberitahu, dia memilih lokasi tersebut kerana suasana yang damai serta kemudahan awam yang lengkap.‘‘Pemandangan hutan menghijau dan air sungai yang jernih menjadikan kawasan ini sesuai untuk berehat serta menenangkan fikiran setelah penat bekerja.‘‘Saya dan keluarga juga suka melihat keindahan dan suasana kehidupan kampung sebelum masuk ke pusat perkelahan ini,” katanya.Seorang lagi pengunjung, Nor Fazrina Azman, 12, berkata, dia berkunjung ke hutan lipur tersebut untuk menenangkan fikiran selepas menghadapi peperiksaan.
‘‘Tempat itu juga sesuai dijadikan tempat mengulang kaji pelajaran kerana keadaannya yang nyaman dan tenteram,” katanya.Rakannya, Muhammad Syahmi Zulkifli, 12, pula berpendapat, jika ada kemudahan WiFi ia pasti menarik minat pengunjung terutama golongan remaja ke sini.‘‘Sekiranya mereka tidak mahu mandi-manda mereka boleh bersantai sambil melayari Internet di sini,” jelasnya.Apa yang pasti, hutan lipur ini kini menjadi satu lagi produk pelancongan domestik yang semakin mendapat perhatian pengunjung, terutama sekali pada hujung minggu.

Jelasnya, jika anda datang ke hutan lipur ini, jangan lupa membawa kamera kerana ia merupakan destinasi paling menyeronokkan terutama sekali sebagai bahan kenangan untuk diabadikan sampai bila-bila.